Pengawal keselamatan ditemui mati dalam bilik sewa
Saturday, July 31, 2021

Kuala Lumpur – Seorang pengawal keselamatan ditemui mati dalam sebuah bilik sewa di Lorong Ceylon, Bukit Bintang di sini, dipercayai mangsa pembunuhan, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata polis menerima laporan kejadian itu daripada isteri mangsa, kira-kira jam 4.15 pagi.
Katanya, siasatan awal menemui kesan lebam pada dahi dan kedua-dua pergelangan tangan mangsa yang lelaki tempatan berusia 28 tahun.
“Ketika kejadian, mangsa dipercayai berseorangan di dalam bilik dan semakan mendapati bilik itu disewa atas nama rakan mangsa.
“Setakat ini, kita sudah menahan seorang lelaki tempatan berusia 20-an yang dipercayai dapat membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad Zainal berkata, punca kematian dan motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.
“Proses bedah siasat akan dilakukan pada jam 9 pagi esok dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kita minta kerjasama daripada orang ramai yang ada maklumat mengenai kes ini supaya tampil membantu siasatan,” katanya.
Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur, 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. - Kualalumpurpost.net