Ugut turunkan bendera putih, Polis Pahang tampil beri penjelasan
Saturday, July 3, 2021

Polis Pahang menafikan dakwaan yang mengatakan anggotanya mengarahkan penduduk di Kuantan menurunkan bendera putih yang dinaikkan di rumah.
Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf dalam satu kenyataan berkata individu yang diarahkan menurunkan bendera putih adalah kerana bendera berkenaan digantung di tiang elektrik.
“Polis tidak mengugut. Apa yang berlaku waktu itu, seperti dilaporkan Ketua polis Daerah Kuantan (Mohamad Noor Yusof Ali) adalah kerana individu itu meletakkan bendera di tiang elektrik.
“Polis tiada halangan untuk bendera putih dikibarkan, kerana tidak ada dalam mana-mana peruntukan undang-undang atau SOP yang menyatakan perbuatan itu satu pelanggaran undang-undang setakat ini,” katanya.
Ramli berkata demikian sebagai respons dakwaan Adun PKR Teruntum, Sim Chon Siang bahawa penduduk di Kuantan yang mengibarkan bendera putih untuk meminta bantuan diperintahkan oleh polis untuk menurunkannya.
Mengulas lanjut, Ramli berkata pihak polis tidak ada halangan terhadap penduduk yang menaikkan bendera putih di hadapan rumah masing-masing jika ia dikibarkan di “tempat sepatutnya”.
“Saya telah mengarahkan supaya tidak ada apa-apa tindakan dibuat sekiranya bendera putih ini dikibarkan di tempat-tempat sepatutnya.
“Sudah tentu kalau menghalang lalu lintas dan sebagainya ia adalah satu kesalahan.
“Tapi untuk tujuan mengibarkannya dan tidak menghalang dan sebagainya, tiada apa-apa halangan,” katanya.
Perkembangan ini berlaku ketika gerakan #BenderaPutih mendapat perhatian dengan lebih banyak orang yang berdepan kesukaran di tengah pandemik mendapat manfaat daripada kempen itu.
Terdahulu, Malaysiakini memetik Sim yang berkata penduduk mendakwa polis mengancam akan mengeluarkan denda RM50,000 sekiranya tidak menurunkan bendera putih yang digantung.
Dia memberitahu Malaysiakini bahawa dia pergi melawat 13 keluarga yang tinggal di Bukit Setongkol, Kuantan, hari ini.
Keluarga itu dikatakan menaikkan dua bendera putih di jalan utama berhampiran rumah mereka pada hari Selasa (29 Jun), katanya, sambil menambah bahawa mereka kemudian mendapat bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) tempatan pada keesokan harinya.
Bagaimanapun, menurutnya, ketua kampung setempat meminta mereka menurunkan bendera itu petang semalam.
Selepas bendera itu tidak diturunkan, Sim berkata ketua kampung kemudian membawa polis ke rumah berkenaan dan sekali lagi meminta mereka untuk menurunkan bendera putih itu.
Sumber Soya Lemon