2 kes keracunan dikesan akibat Ivermectin
Saturday, August 14, 2021

Kuala Lumpur – Dua kes keracunan akibat pengambilan pil Ivermectin secara kendiri dikesan oleh Pusat Racun Negara.
Menerusi satu kenyataan di laman Facebook, Pusat Racun Negara memaklumkan kes pertama yang diterima melibatkan seorang pengguna berumur 35 tahun yang telah mengambil sebiji pil Ivermectin.
“Akibat pengambilan sebiji pil itu, pengguna tersebut telah mengalami gejala sesak nafas yang berpanjangan sehingga lima hari selepas pengambilan.
“Kes kedua pula melibatkan seorang warga emas yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dikatakan mengambil 15 biji pil Ivermectin sekali gus,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Ivermectin belum lagi diluluskan penggunaannya sebagai rawatan atau pencegahan jangkitan Covid-19 di Malaysia namun didapati ada aktiviti penjualan ubat berkenaan secara tidak sah yang sedang belaku.
“Pengambilan Ivermectin tanpa kajian mendalam dan dos yang tidak betul boleh mengakibatkan keracunan.
“Ivermectin boleh menyebabkan kesan mudarat seperti muntah, cirit, sakit perut dan pening manakala kesan yang teruk pula adalah tekanan darah rendah, sesak nafas, kerosakan paru-paru dan kematian,” jelasnya.
Tambahnya, setakat ini tiada sebarang antidot atau rawatan spesifik untuk kes keracunan sebegitu oleh itu orang ramai digalakkan untuk mengelakkan pengambilan Ivermectin bagi melakukan rawatan kendiri.