Kerajaan PN terbubar - Tun M
Monday, August 2, 2021

Kuala Lumpur – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa kerajaan sedia ada secara automatik sudah terbubar dan tidak boleh mentadbir negara apabila gagal mencapai persefahaman antara institusi diraja dan Kabinet.
Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (PEJUANG) itu berkata, keadaan itu jelas dilihat menerusi pengumuman kerajaan berhubung pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat walaupun gagal mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Bekas perdana menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi itu turut menuntut agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur daripada jawatannya.
Beliau berkata, tindakan pembatalan itu dibuat tidak mengikut lunas perundangan yang betul, selain tidak mematuhi mana-mana peraturan berkaitan yang termaktub.
“Ikut pindaan kita (kerajaan terdahulu) buat sebelum ini, kalau raja (Yang di-Pertuan Agong) tolak maka dewan (Dewan Rakyat) mesti bincangkan sebab penolakan.
“Kalau tiada perubahan (berhubung sebab penolakan), dewan boleh hantar balik kepada raja. Kalau raja tak lulus selama dua bulan, barulah ia jadi undang-undang.
“Bagaimanapun, ini (pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat) belum dikemukakan kepada Parlimen, selepas tidak dipersetujui raja… (kerajaan) buat pengumuman seolah-olah ia sudah jadi undang-undang,” katanya pada sidang media di Dataran Merdeka, hari ini.