Anak Azmi Saat meninggal dunia – “Tunggu kami di syurga ya”
Thursday, September 30, 2021

BAYI sulung penyanyi Azmi Saat yang berusia tiga hari menlnggal dunia selepas mengalami masalah kesihatan kira-kira pukul 12.00 tengah hari, Khamis.
Perkara itu disahkan pengurusnya, Syah Rahman yang memaklumkan bayi diberi nama Khairul Afnan itu menghembuskan nafas terakhir dipangkuan ibunya, Nazira Muhammad di hospital Pakar Ohana, Kuala Lumpur.
“Selepas alat bantuan pernafasan dicabut, Azmi dan isteri diberi peluang meriba anak mereka sehingga nafas terakhir.
“Afnan sah meninggal dunia beberapa minit kemudiannya… kita doakan semoga pasangan ini diberikan kekuatan melalui ujian cukup mencabar ini,” kata Syah ketika dihubungi mStar.
Pada pagi Khamis, Azmi yang juga merupakan vokalis kumpulan Caliph Buskers memaklumkan bayi lelakinya itu berdepan penyakit yang masih belum diketahui punca sehingga perlu menerima bantuan pernafasan.
“Doktor mengesyaki bahagian otak Afnan ada masalah sebab dia tidak bergerak, jadi perlu buat ujian imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) bagi memeriksa otaknya dan punca sebenar.
“Tapi puncanya, Azmi akan memberikan kenyataan sendiri. Sekarang ini, dia memohon berikan dia masa dan apabila ada kelapangan nanti, dia sendiri akan memberikan kenyataan,” katanya.
Pada 27 September lalu, Azmi selamat menimang cahaya mata sulung selepas 10 tahun menantikan zuriat.