10 tahun hidup bersama, Yasmin Hani dan suami sah bercerai
Friday, December 3, 2021

Selepas 10 tahun menjalani bahtera rumah tangga, pelakon dan pengacara Yasmin Hani dilaporkan sudah bercerai dengan suaminya Sha’arin Mohamed Razali baru-baru ini.
Menerusi laporan mStar Online, perkara tersebut disahkan sendiri oleh Sha’arin yang juga bekas pemain dram kumpulan rock popular awal tahun 90-an Black Rose.
Petang tadi, Yasmin yang berusia 42 tahun memuat naik sebuah posting di laman Instagram memaklumkan dia dan Sha’arin mengambil keputusan bagi membawa haluan masing-masing.
“Sha’arin dan Hani dapat melaksanakan apa yang telah kami persetujui bersama. Kami berdua agree yang kami akan memulakan perjalanan baru secara berasingan dalam keadaan yang baik-baik sahaja,” tulisnya.
Menurut pelakon drama Marry Me Senorita itu, dia dan bekas suami bersetuju untuk membesarkan anak-anak selain memohon diberi ruang atas keputusan yang dibuat.
“Kami juga bersetuju untuk kekal bersepakat dalam membesarkan kedua-dua anak kesayangan kami dalam ruang yang penuh dengan kasih sayang dan toleransi.
“Kami betul-betul harap semua pihak dapat memberi ruang dan menghormati keputusan kami ini demi kesejahteraan keluarga dan anak-anak kami,” katanya.
Terdahulu, pasangan tersebut berkahwin pada 2011 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Noah Ismail Wong, 8, dan Eissa Elzander Wong, 5.
Sumber: mStar Online (Ali Toupan Rajalee) , Instagram Yasmin Hani & Sha’arin Razali