Ebit Lew Mengaku Tidak Bersalah Atas 11 Tuduhan Hantar Gambar & Perkataan Lucah
Friday, February 18, 2022

Pendakwah bebas terkenal Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali Ebit Lew mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas 11 pertuduhan berhubung kes gangguan seksual.
Ebit Irawan, 38, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.
Tertuduh didakwa membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp di daerah Tenom antara Mac hingga Jun tahun lepas.
Semua pertuduhan itu adalah di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Nur Asyraf menetapkan jaminan RM1,000 untuk setiap pertuduhan dengan dua penjamin manakala 20 April ini sebagai sebutan semula kes.
Ebit Irawan membayar wang jaminan itu.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah Muhammad Ilmami Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan dalam sidang media di sini hari ini berkata pada 7 Ogos tahun lepas, pihak polis menerima laporan berkenaan pendakwah itu dan sejumlah tiga laporan atas kesalahan tersebut telah diterima.
Beliau berkata siasatan telah dijalankan daripada pelbagai sudut termasuk kemungkinan tuduhan fitnah yang turut melibatkan pengadu di Sabah serta Semenanjung.
“Jika orang ramai mempunyai maklumat luar kes ini, sila tampil ke hadapan bantu pihak polis untuk siasatan yang lain, kalau ada kes kita jalankan siasatan menyeluruh dan perkara yang sama akan dirujuk kepada pendakwa raya.
“Pihak polis memohon kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi bagi memastikan prosiding perbicaraan berjalan lancar,” katanya. – BERNAMA
Sementara itu dalam laporan Utusan Online, Ebit menyifatkan pertuduhan gangguan seksual terhadapnya adalah pertuduhan yang tidak berasas dan melampau, serta cuba menjatuhkan kredibilitinya.
"Ini adalah cubaan untuk menghina dan merendahkan maruah saya agar berhenti daripada melakukan kerja-kerja amal bagi membantu golongan yang susah.
"Saya yakin dan percaya perkara ini sesuatu yang sudah dirancang oleh sekumpulan individu dan ia bukan dirancang dalam sehari dua.
"Sebenarnya saya baru tahu mengenai pendakwaan ini beberapa hari lepas dan saya agak terkejut. Saya datang ke Sabah bukan rancang untuk ke mahkamah. Saya dalam misi melakukan kerja amal.
"Apabila kita ditentang ketika buat kebaikan maka tidak perlu bersedih kerana ujian yang datang ini sudah menjadi sunat. Walaupun kita berusaha sehabis baik, namun saya bersyukur dengan ujian ini," katanya.
Sumber: Metro