“Apa Salah Saya? Saya Tak Pernah Ganggu Atau Menyusahkan Orang”
Friday, March 18, 2022

Apa sahaja yang dilakukannya sering kali tidak disenangi oleh netizen, penyanyi Baby Shima kesal apabila berterusan dibenci.
Terbaru, nama penyanyi itu sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila netizen mendakwa produk jamu yang dijual adalah minuman beralkohol atau arak.
“Saya tak tahu apa lagi salah saya sedangkan pernah cakap sebelum ini yang saya tak pernah mengganggu malah jauh sekali menyusahkan kehidupan orang lain.
“Kali ini mereka ulang lagi perkara sama dengan serang saya apabila melancarkan jamu Susuq Dara ini. Agak menghairankan apa yang mereka marah sangat pada saya?
“Apa yang amat menyedihkan apabila mereka dakwa saya buat perniagaan ini menggunakan wang haram sedangkan saya bersusah payah kumpul modal untuk memulakan perniagaan ini,” katanya.
Shima berkata ada pihak tidak berpuas hati hingga membandingkan botol jamu keluarannya dengan botol minuman beralkohol. Malah, ada yang sakit hati dengannya sehingga menggelarnya perempuan tidak bermoral.
“Mereka cakap haram untuk mereka membeli produk saya dan minta dicampak ke dalam longkang sahaja. Malah ada juga yang sanggup gelar saya sebagai perempuan tak bermoral dek kerana sakit hati sangat dengan saya,” katanya.
Baby Shima mengakui layanan diterima dari netizen kedua-dua buah negara berbeza apabila peminat dari Indonesia yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepadanya.
SUMBER: HARIAN METRO