Nelydia Senrose Takut Hati Berubah Buka Tudung Semula
Wednesday, March 23, 2022

Nelydia mengaku tidak berani mengulas berlebihan mengenai penampilan baharunya itu kerana menganggap dirinya masih dalam proses pembelajaran.
"Budak yang belajar berenang pun tidak dicampak ke bahagian dalam takut lemas."
Itu analogi Nelydia Senrose yang tampil berhijab sekembalinya daripada mengerjakan umrah, Disember tahun lalu, ketika berkongsi perubahan yang dialami terutama dalam terus istiqamah.
"Saya mahu jalani proses penghijrahan ini selangkah demi selangkah tetapi pasti... Saya memang ke arah itu. Saya cuma tidak berani cakap lebih.
"Saya tidak mahu terlalu drastik seperti melangkau urutan abjad A hingga terus Z. Budak belajar berenang pun tidak dicampak terus ke tempat dalam... Bimbang lemas.
"Sama juga seperti saya yang masih bertatih. Saya dalam proses belajar, mencuba, mencari dan mengenal lebih soal diri dan agama Islam.
"Kebetulan kita hendak sambut Ramadan, ini salah satu cara untuk menghormati bulan itu," katanya kepada BH Online.
Nelydia yang juga adik kepada Uqasha Senrose berkata, dia mahu menjadi muslimah yang lebih baik.
"Sekembali dari umrah, saya perlahan-lahan bertudung. Dapat berkunjung ke Arab Saudi, dikira lokasi itu sesuai untuk kita berhijab.
"Saya mula belajar, apa yang terdedah ditutup sedikit demi sedikit... Aturan itu sangat cantik," katanya yang menikahi ahli perniagaan, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid.
Menemuramah Nelydia pada sesi promosi drama Khilaf Asmara yang dibintanginya untuk siaran TV3, Nelydia atau nama sebenar, Nik Zaris Nelydia Nik Sen mengaku diburu bimbang andai hati berbolak-balik.
"Saya mengharapkan pengakhiran yang baik dalam hidup ini. Jujur takut andai tersilap percaturan, hati boleh berubah.
"Namun saya tidak bermaksud menidakkan apa yang salah tetap salah. Hati kita Tuhan yang pegang dan bila-bila masa boleh tersasar.
"Hari ini okay, esok, jadi lain. Namun, saya tidak lupa berdoa memohon diri terus istiqamah. Doa baik-baik untuk sesuatu yang lebih manis itu tentunya jadi azimat," katanya.
Nelydia, 27, juga tidak gentar keputusan bertudung menjejaskan karier seninya. Malah, akuinya, beberapa projek telefilem bakal dijayakannya.
Sumber: CARI