“Semua Kena Terima Hakikat Apa Yang Berlaku Dalam Sejarah” – Produksi Mat Kilau
Saturday, July 9, 2022
Sejak semalam hangat diperkatakan apabila Persatuan Sikh Malaysia meluahkan rasa kesal berhubung watak askar British daripada kaum Sikh dalam filem Mat Kilau.
Menerusi satu kenyataan, persatuan itu kecewa apabila filem tersebut menggambarkan kaum dan agama lain seperti Sikh sebagai penjahat.
Sementara itu, memetik Harian Metro, Produksi Studio Kembara yang menerbitkan filem Mat Kilau berkata tiada keperluan untuk berjumpa wakil dari Persatuan Sikh Malaysia buat masa ini.
Pengarah Urusannya, Abdul Rahman Mt Dali, berkata apa yang dipaparkan dalam filem ini berdasarkan fakta dan perlu menerima hakikat apa yang berlaku dalam sejarah.
“Pertamanya, ini ialah fakta sejarah yang tak dapat dinafikan. Jadi macam mana kita nak buat filem kalau bukan begitu kita gambarkan. Takkan saya nak letak askar Melayu atau Inggeris (dalam babak terbabit).
“Itu lagilah satu penipuan sejarah. Semua orang kena terimalah hakikat apa yang berlaku dalam sejarah. Jadi tak perlu nak rasa marah atau sebagainya. Kalau nak marah, bukan marah kepada kita (orang Melayu) atau saya tapi kepada orang Inggeris,” katanya.
Kata Abdul Rahman lagi, filem adalah hiburan dan orang rasional tidak akan merasakan ia sebagai satu perkara ke arah perpecahan kaum.
“Ia sama juga seperti Hollywood gambarkan pihak-pihak mereka yang kadang-kadang tak betul pun,” katanya.
Terdahulu, persatuan itu meluahkan rasa kesal serta mempersoalkan babak askar Sikh bertindak kasar dengan mencederakan orang tua, kanak-kanak dan golongan tidak berdaya dalam filem berkenaan.
SUMBER: HARIAN METRO