‘Suspek marah sebab tak nak pengadu jejaskan perniagaannya’ - Samseng suara Mickey Mouse rupanya penjual buah potong juga
Thursday, July 28, 2022

Polis mengesahkan, lelaki berlagak samseng dengan suara Mickey Mouse ketika memarahi seorang peniaga wanita dalam video tular sejak semalam, berlaku di sekitar Batu Pahat.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian itu berlaku di hadapan sebuah restoran di Parit Raja.
Difahamkan, peniaga wanita berkenaan bersama anaknya datang ke lokasi dengan menaiki motosikal untuk menjual buah potong dari satu kedai ke satu kedai lain pada waktu malam.
Selain di Parit Raja, dia juga menjalankan perniagaan yang sama di sekitar kawasan Tongkang Pecah bersama dengan tiga anaknya berusia 12 hingga 17 tahun sejak 10 tahun lalu.
Hasrat wanita itu untuk menjual buah potong di kawasan lain sehingga ke Parit Raja tidak kesampaian selepas dia ditahan oleh suspek yang memarahinya agar tidak mengganggu kawasan perniagaannya.
Bimbang dengan keselamatan diri, wanita berkenaan yang berusia 40 tahun tampil membuat laporan polis pada jam 11.45 malam, 25 Julai 2022 di Balai Polis Parit Raja.
Bertindak di atas laporan itu, suspek berusia 37 tahun telah ditahan dan polis mendapati suspek juga adalah seorang peniaga buah potong dan minuman.
Ketika disoal siasat, suspek mengaku telah memarahi pengadu kerana tidak mahu wanita itu mengganggu perniagaannya di kawasan Parit Raja.
Sumber: Kosmo Online