Bayaran Johan Di Hot FM Cecah RM500,000?
Tuesday, August 2, 2022
Pelawak dan penyampai radio, Johan tidak memberi komen apabila ditanya mengenai bayaran diterima didakwa mencecah RM500,000 untuk berhijrah ke stesen radio Hot FM.
Memetik Harian Metro, Johan bagaimanapun mengaku dia bekerja untuk mendapatkan duit demi isteri dan anak-anaknya.
“Soal bayaran saya ‘no comment’. Saya bekerja untuk duit, untuk anak bini saya. Sebelum ini bekerja sendiri, apabila mati saya tak tinggalkan apa-apa, cuma tinggalkan tanah perkuburan saja.
“Jadi, saya memang bekerja untuk duit. Saya memang akan pastikan orang bila dah bayar saya, berbaloi dengan hasil kerja saya.
“Sebab itu saya tak peduli, saya datang dengan ‘barang’ (pengalaman dan pengetahuan) saya, kita buat ini, buat itu. Minta maaf cakap, saya agak tegas dengan AG dan Fafau (Fara Fauzana),” katanya.
Hampir 11 tahun berkhidmat di radio Era, Johan berkata dia tahu bagaimana pun menjadikan perbualan lebih menarik dalam masa sama menarik pendengar.
“Saya pelawak, saya faham macam mana perbualan itu nak bagi menarik. Di mana nak ‘punch line’, siapa nak bawa ‘story’ itu, perkara ini saya bentangkan kepada mereka.
“Mereka adalah penyampai radio, saya satukan sebagai pelawak dengan penyampai radio supaya ia tak bertindih dan ia berjalan lancar,” katanya.
Dalam pada itu, Johan berkata dia menerima tawaran berhijrah itu kerana mahu menjadikan Hot FM stesen radio nombor satu.
“Saya tamat kontrak dengan stesen radio lama pada 30 Jun lalu. Ketika itu saya merancang untuk berehat dahulu dan fokus pada perniagaan dan menguruskan anak-anak.
“Namun, selepas menerima tawaran daripada Hot FM selain mengenangkan hubungan baik yang terjalin antara saya dengan ‘boss’ (Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran yang mana pernah menjadi majikan saya dulu serta beberapa peluang lain, itu saya terima,” katanya.
SUMBER: HARIAN METRO