Noh Salleh, Mizz Nina Sahkan Sudah Bercerai
Thursday, August 4, 2022
Segala spekulasi mengenai rumah tangga pasangan selebriti itu akhirnya terjawab apabila Mizz Nina dan Noh Salleh mengesahkan mereka sudah pun bercerai.
Perkara itu dikongsikan oleh Noh dan Mizz Nina secara serentak di Instagram masing-masing sebentar tadi. Menerusi entri itu, Noh dan Nina berkata keputusan untuk berpisah itu dibuat bersama bagaimanpun tidak berkongsikan tarikh perceraian.
Noh dan Nina berkata keputusan itu diambil selepas mempertimbangkan banyak aspek sebelum berpisah secara baik. Mereka turut meluahkan rasa syukur diizinkan oleh Allah untuk bersama selama 11 tahun yang cukup indah.
“Selepas berfikir dan membuat pertimbangan dengan teliti, kami bersetuju untuk berpisah dan meneruskan hidup mengikut haluan masing-masing.
“Alhamdulillah, kami bersyukur kepada Allah kerana mengizinkan kami meluangkan masa bersama selama 11 tahun yang cukup indah, penuh pasang surut dan pengembaraan,” katanya.
Dalam pada itu, Noh dan Nina berkata mereka akan tetap berkawan baik serta mengucapkan terima kasih kepada mereka yang selama ini banyak memberi sokongan.
“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyokong yang selama ini banyak memberi sokongan dan kasih sayang kepada kami selama bertahun-tahun. Jangan risau, kami masih berkawan dan baik,” katanya.
Diakhir perkongsian itu, Noh dan Nina turut memohon doa untuk kehidupan mereka selepas ini serta meminta peminat agar menghormati privasi mereka.
“Kita hanya mampu merancang, namun Allah yang menentukan. Mohon doakan kami dapat menjalani kehidupan di sepanjang tempoh idah. Saya amat menghargai kalian yang menghormati privasi kami berdua,” katanya.
Terdahulu, Noh dan Mizz Nina dikatakan sudah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur, di sini, semalam.
Noh dan Mizz Nina mendirikan rumah tangga pada 2 Julai 2011. Pasangan itu mengambil anak angkat diberi nama Musa pada Mac lalu.
Sumber: Rotikaya