“Tak Perlu Panggil Saya Hajah, Segan Pula Rasanya” – Nelydia Senrose
Friday, August 5, 2022
Rezeki buat pelakon Nelydia Senrose apabila memegang gelaran hajah di usia 28 tahun selepas pulang daripada mengerjakan ibadah haji baru-baru ini.
Memetik Harian Metro, Nelydia berkata dia mengakui segan apabila dipanggil gelaran Hajah dan lebih selesa dipanggil dengan namanya sahaja.
“Tak perlu panggil saya hajah, segan pula rasanya. Cukup dengan Nelydia saja,” katanya.
Berkongsi pengalaman mengerjakan rukun Islam kelima itu, Nelydia berkata ianya momen yang amat menakjubkan serta bersyukur segalanya dipermudahkan.
“Namun cukup sekadar saya katakan layanan Allah dan segala macam yang saya tempuh sangat cantik dan dipermudahkan. Walaupun saya pernah menunaikan umrah beberapa kali, tapi haji ini saya dapat rasa satu kelegaan yang sukar untuk diungkapkan.
“Benar orang kata pemergian mengerjakan haji ini ibarat kita berjihad dan berserah dengan apa saja ketentuan yang bakal berlaku. Saya serah segala-galanya kepada Allah dan mengharapkan kehadiran saya ini diterima dengan baik,” katanya.
Ditanya mengenai apa yang dipohon ketika berada di Tanah Suci, Nelydia mengakui dia tidak boleh menipu diri memohon untuk memperbaiki diri menjadi hamba yang lebih baik serta terus istiqamah.
“Tipu kalau saya katakan kehadiran saya di sana bukan untuk mencari keredaan Ilahi. Di usia saya sekarang dan sudah melalui macam-macam fasa dalam kehidupan. Saya tidak boleh menipu diri.
“Allah itu Maha Mengetahui apa yang kosong dalam isi hati saya selepas melalui zaman remaja dan kini memasuki alam dewasa. Saya selalu berdoa supaya Tuhan tingkatkan keimanan dan beri saya kekuatan untuk terus istiqamah.
“Di bumi Allah memang kita boleh buat, tapi bila sampai sini lain pula ujian yang perlu dilalui. Jadi, saya selalu berdoa supaya Allah jauhkan saya daripada perkara yang boleh menghalang saya untuk melakukan sesuatu yang terbaik,” katanya.
Sumber: Rotikaya