Luah Guna Modal Sendiri Bantu Mangsa Banjir, Abang Viva Dituduh Mula Mengungkit
Sunday, December 18, 2022

Namanya mula menjadi sebutan kerana sanggup datang dari Melaka untuk menjadi sukarelawan menyelamatkan mangsa banjir di Shah Alam pada Disember tahun lalu.
Siapa tidak kenal dengan Azwan Omar atau lebih terkenal dengan panggilan Abang Viva yang menjadi inspirasi ramai kerana hadir dengan hanya menaiki kereta Perodua itu dengan sebuah bot di atasnya.
Selepas kejadian itu, ramai rakyat ‘menyeru’ dan meminta bantuan Abang Viva pada musim banjir tahun ini untuk turun ke lokasi yang dilanda banjir.
Bagaimanapun, baru-baru ini seorang pengguna telah muat naik satu video di TikTok tentang luahan isi hati Azwan selepas namanya dipetik oleh netizen.
Menurut Azwan, dia sebenarnya baru sahaja pulang daripada misi banjir beberapa hari lalu namun terpaksa memberi penjelasan agar orang ramai faham dengan situasi dihadapinya.
Jelasnya, dia tidak menerima sebarang elaun daripada kerajaan untuk membantu mangsa banjir dan mempunyai modal yang terhad untuk ke mana-mana.
“Kalau ada elaun takpe, masalah kena fikir juga saya dah kahwin ada anak bini. Nak kena bagi makan. Saya ni sukarelawan bukannya kerja tetap. So orang tak boleh pertikai saya turun ke tidak.”
Tambahnya lagi, perjalanannya ke Terengganu dan Kelantan sebelum ini untuk misi bantuan telah menelan belanja sebanyak RM1,000 untuk membayar minyak, tol dan makan.
Meskipun telah menjelaskan perkara itu, sesetengah netizen beranggapan Azwan kini sudah pandai mengungkit malah ada yang berkata dia tidak ikhlas menghulurkan bantuan.
Sumber: Beautifulnara