Tular Rakaman Tiga Pemuda Persenda Azan Dalam “Challenge”, Ini Penjelasan Mereka
Sunday, June 13, 2021

PETALING JAYA – Tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam satu rakaman video seolah-olah mempersenda azan dan ayat suci al-Quran tampil membuat permohonan maaf hari ini.
Ketiga-tiga mereka memuat naik rakaman video mengakui krsilapan yang telah mereka lakukan dan meminta maaf kepada seluruh umat Islam Malaysia.
Salah seorang pemuda terbabit yang hanya memperkenalkan dirinya sebagai Ruban berkata, dia memohon maaf kepada semua umat Islam di atas kesilapannya.
“Saya tiada niat perli umat Islam. Dalam video itu saya tidak boleh menahan kepedasan apabila kami mengadakan “challenge” (makan pedas) lalu saya letak kedua-dua tangan di telinga dan pada masa itu kawan saya suruh saya mengulanginya sambil membuat (rakaman) video.
“Dia melafazkan ayat yang memang tidak sepatutnya. Saya kecewa atas apa yang berlakunya dalam video tersebut. Saya memohon maaf di atas kesilapan kami dan berjanji tidak mengulanginya lagi,” katanya.
Rakannya yang hanya dikenali sebagai Brandon Eng pula berkata, dia sebagai individu yang merakam video itu turut memohon maaf di atas kesilapan yang dia lakukan.
Menurutnya, dia merakam video itu untuk tujuan ‘main-main’ dan tidak tahu ia sesuatu yang serius.
“Saya sepatutnya tidak boleh melafazkan ayat tersebut. Tolong maafkan kami dan kami tidak akan melakukan perbuatan seperti ini selepas ini,” katanya.
Seorang lagi pemuda dikenali sebagai Ryan berkata, dia berasa kecewa dengan apa yang berlaku dalam rakaman video tersebut.
Katanya, dia dan rakan-rakannya menghormati dan mencintai semua agama di Malaysia, maka mereka meminta maaf dengan sepenuh hati.
Terdahulu satu rakaman video berdurasi 31 saat menunjukkan beberapa lelaki kelihatan seperti mempersenda azan dan ayat suci al-Quran tular di media sosial.
Perbuatan itu menerima kecaman orang ramai yang mahu polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap mereka di atas dakwaan menghina Islam.
Dalam pada itu, Aktivis NGO Semboyan Saudara Yusuf Azmi turut tampil memberi amaran dan mengulas isu tersebut di laman facebook milik beliau
HENTI PERSENDA RASULULLAH SAW & CEMAR KESUCIAN ISLAM
“Bergurau dengan melibatkan nama Allah dan ayat-ayat suci Al-Quran? Ini sangat BIADAP!
“Ia satu penghinaan serius dan secara tidak langsung mengundang kemarahan ramai masyarakat terutamanya yang beragama Islam.
“Isu menghina agama seperti ini sepatutnya tidak boleh dan tidak patut berlaku di Malaysia, apa lagi kita hidup dalam masyarakat yang berbilang bangsa dan seharusnya kita menjaga sensitiviti agama dan kaum.
“Firman Allah SWT:
“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab, “Sesungguhnya kami hanya berbual & bermain-main”. Katakanlah, “patutkah nama Allah dan
ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” [Al-Tawbah: 65]
“Nak bergurau ada batasannya, hati-hati jangan sampai mempersendakan agama!” katanya.
Sumber Soya Lemon