Kes Tertukar Bayi. Semua Terjadi Ada Hikmah, Allah Aturkan Semua Ini Dan Kebetulan Nama Pun Lebih Kurang Sama
Sunday, June 13, 2021

SEPERTI dalam drama, begitulah reaksi seorang ibu yang berdepan detik cemas apabila menyedari anaknya yang baru dilahirkan tertukar dengan bayi orang lain.
Kisah mengenai bayi tertukar itu menjadi tular apabila wanita berkenaan, Siti Suriani Wahiddin membuat perkongsian menerusi Facebook (FB) Live, Sabtu malam.
Berkongsi pengalaman, wanita berusia 22 tahun itu mengakui pada mulanya tergamam berdepan detik mencemaskan itu yang membabitkan anak lelaki keduanya.
“Saya tak tahu nak gambarkan macam mana. Sebelum ni kita tengok kat dalam drama je, tapi perkara ini terjadi pada diri sendiri.
“Saya memang terkesima, terdiam, risau semua ada. Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan saya bila dapat tahu anak yang saya pegang tu bukan anak saya.
“Saya asyik fikir anak saya kat mana, dengan siapa, macam mana keadaan dia,” katanya kepada mStar sambil menambah dia melahirkan bayi lelaki di sebuah hospital di Shah Alam, kira-kira pukul 2.30 pagi pada 11 Jun.
Lebih dikenali sebagai Siti Jamumall, dia hanya menyedari bayi itu bukan anaknya semasa suaminya mahu memotong tanda nama pada kaki bayi berkenaan selepas pulang ke rumah.
“Saya discaj petang semalam (Sabtu), masa waktu Maghrib suami nak potong tag di kaki anak, ada nama wanita lain dan bukannya nama saya.
“Nasib baik suami tengok dulu tag nama tu sebelum dia buang. Dia siap tanya kenapa nama ibu lain? Masa tu kami terus keliru, eh betul ke ini anak kami?
“Kami ada ambil gambar anak selepas saya bersalin sebelum anak dibawa ke nurseri, tapi kami sedapkan hati sendiri mungkin muka bayi berubah,” katanya sambil menambah tanda nama tersebut dipercayai merujuk kepada ibu kepada bayi yang dilahirkan pukul 3 petang 10 Jun.
Menurut usahawan itu, dia dan suaminya menghubungi pihak hospital berhubung perkara itu sebelum bergegas ke hospital pada Sabtu malam dan kemudian mendapat pengesahan berlaku pertukaran bayi.
“Setibanya di hospital, kami dibawa jumpa ibu bapa yang juga tertukar bayi dengan membawa pulang anak kami, bersama pihak hospital.
“Bila kami dibawa jumpa dengan anak kami yang sebenar, saya tak tengok tag dah. Saya terus teringat muka anak saya yang pertama. Memang iras dengan wajah abang dia yang berusia setahun dan enam bulan,” katanya.
Dalam pada itu, Siti Jamumall tidak dapat menyembunyikan perasaan sedihnya apabila telah menyusukan kedua-dua bayi termasuk anak orang lain yang tertukar itu.
“Bagaimanapun, saya amat bersyukur kerana dipertemukan dengan anak saya. Ada hikmah di sebaliknya. Tak jangka, mak saya pun ingatkan situasi macam ni berlaku dalam drama je.
“Hari ni saya ke hospital semula untuk melakukan pemeriksaan kesihatan penuh terhadap anak memandangkan dia dibawa keluar dari hospital lebih awal dari sepatutnya.
“Saya juga akan mendapatkan khidmat nasihat guaman dalam mempertimbangkan tindakan selanjutnya sebagai pengajaran,” katanya yang turut membuat laporan p0lis berhubung kejadian itu.
JAWAPAN PIHAK HOSPITAL
Harian Metro kemudian menghubungi hospital swasta yang dimaklumkan ibu bayi terbabit, namun jurucakap hospital terbabit menafikan kejadian itu berlaku di hospitalnya.
Sementara itu, usahawan Diana Hanani Abdullah, 23, turut kecewa dengan insiden itu yang menyebabkan emosinya terganggu.
Menurutnya, dia melahirkan bayi lelaki secara pembedahan di hospital sama pada 3.02 petang 10 Jun (Khamis) dan dibenarkan pulang ke rumah di Puncak Alam, Selangor, pada 12 tengah hari kelmarin.
Sumber : MSTAR ONLINE / JAMUMALL.COM/ HM