Bekas ratu cantik mengaku tak bersalah tumbuk polis, ambik dadah
Friday, July 9, 2021

Petaling Jaya – Seorang bekas ratu cantik negara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan menumbuk anggota polis dan menggunakan dadah berbahaya.
Tertuduh Kohinoor Damodaran Kaittiani, 29, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya dihadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakut-nakutkan penjawat awam dengan menumbuk Koperal Sharularifin Sarmadan di Jalan Universiti di sini pada jam 3 pagi, 8 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Wanita itu turut didakwa menggunakan dadah Tetrahydrocannabinol di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, jam 2 petang, pada tarikh sama.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntuk penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya dan pengawasan tidak lebih tiga tahun.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lau Chia Xin, menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh bagi semua pertuduhan.
Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam, Datin Raj Preet Kaur, memohon diberikan ikat jamin rendah dengan alasan perniagaan restorannya terpaksa ditutup, ekoran penularan COVID-19.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin, bagi semua pertuduhan dan menetapkan 6 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
Dalam prosiding sama, rakannya, Quek Shen Tying, 33, turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan dadah jenis sama, jam 2.15 petang, pada tarikh dan tempat sama.
Mahkamah kemudian membenarkan Shen Tying diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Oktober ini untuk sebutan semula kes.