Kerja ada ‘hitam putih’, Nadir Al Nuri tiada masalah jawab soalan ’20 juta’ Ebit Lew
Friday, July 23, 2021
Sidang media yang dibuat pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew berkaitan tohmahan yang diterima dari beberapa individu telah dijawab bagi menerangkan hal sebenar selepas kontroversi melibatkan misi kemanusiaannya ke Gaza terus diperkata.
Selain menjawab beberapa persoalan yang diutarakan oleh Presiden Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir Al Nuri dan influencer, Caprice, beliau turut mengajukan semula soalan kepada Nadir berkenaan sumbangan rakyat Malaysia yang dikatakan sebanyak RM20 juta setahun.
Sedar namanya ‘dipetik’ ketika sidang media Ebit Lew berkenaan pertanyaan kemana duit sumbangan bernilai RM20 juta tersebut, Nadir memaklumkan yang beliau akan menjawab persoalan yang dilemparkan Ebit Lew dalam masa terdekat.
Beliau juga memaklumkan dalam keadaan ‘okay’ dan sedang sibuk sedikit bagi menguruskan projek berkenaan ibadah qurban.
Tambahnya, mereka yang bergerak sebagai badan bukan kerajaan (NGO) sememangnya membuat kerja dengan mempunyai ‘hitam putih’ ataupun dokumen yang sahih ke mana semua duit sumbangan yang diamanahkan telah disalurkan bagi tujuan kebajikan.
Justeru itu, beliau meminta semua bertenang supaya dapat segera menyelesaikan urusannya dan menjawab kembali persoalan wang yang telah dibelanjakan.
Selain itu, beliau turut memuat naik semula perkongsian yang dibuat oleh wakil NGO dari MyAqsa Defenders (MAD) dengan memaklumkan yang mereka sememangnya mewujudkan jawatankuasa khas untuk memantau pengurusan (MAD).
Jadi untuk menerangkan segala ‘hitam putih’ seperti yang ditagih Ebit Lew dalam sidang media beliau semalam bukanlah satu masalah buat Nadir Al Nuri memandangkan semua yang dilakukan berstruktur dan terorganisasi dengan baik.
Semoga segala penjelasan daripada kesemua pihak yang terlibat dalam misi kemanusiaan tersebut dapat meredakan kontroversi memandangkan kesemuanya merupakan individu yang dihormati di negara ini.