Syed Saddiq didakwa atas 2 pertuduhan pecah amanah dan mengaku tak bersalah
Wednesday, July 21, 2021

Kuala Lumpur – Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas satu pertuduhan pecah amanah membabitkan wang RM1 juta dan satu pertuduhan lain.
Mengikut sistem mahkamah, kes Syed Saddiq akan disebut di hadapan Hakim Azura Alwi dan Suzana Hussin.
Sementara itu, menurut sumber, Syed Saddiq akan didakwa mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan berhubung dakwaan pecah amanah dana sebuah parti politik dan Seksyen 403 Kanun Keseksaan berkaitan menyalahgunakan harta iaitu wang.
Sumber berkata kesalahan itu dipercayai dilakukan pada 2018 dan 2020, lapor Bernama.
Bagaimanapun, Syed Saddiq, 29, yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang telah diamanahkan penguasaan ke atas dana ARMADA, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Syed Saddiq juga menghadapi tuduhan menyalahgunakan harta iaitu, wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad,Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di antara 8 April sehingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir serta Mohd ‘Afif Ali.
Syed Saddiq diwakili peguam Gobind Singh Deo, Datuk S. Ambiga dan Haijan Omar, lapor Bernama.