Langgar Peraturan COVID-19? Di Jepun, Nama Anda Akan Didedahkan Pada Umum
Sunday, August 8, 2021

Dengan harapan supaya orang ramai akan mematuhi peraturan COVID-19, negara Jepun akan mendedahkan kepada umum nama individu-individu yang didapati ingkar peraturan tersebut, lapor Insider.
Pada Isnin lalu, Kementerian Kesihatan Jepun difahamkan sudah mendedahkan nama tiga individu yang melanggar peraturan wabak yang ditetapkan negara terbabit selepas pulang dari luar negara pada 21 Julai lalu.
Menurut sumber, kesemua tiga individu yang namanya didedahkan itu adalah warganegara Jepun dan dua daripadanya berusia lingkungan 20-an dan baru tiba dari Korea Selatan, manakala individu ketiga berusia lingkungan 30-an dan tiba dari Hawaii.
Difahamkan, ketiga-tiga mereka sudah disahkan negatif wabak maut terbabit selepas menjalani ujian sebaik tiba di Jepun. Pun begitu, kesemua mereka gagal untuk menjawab panggilan follow-up daripada kementerian kesihatan.
Laporan lanjut mendedahkan, ketiga-tiga individu terbabit sengaja mengelak daripada berhubung dengan kementerian kesihatan selepas pulang dari luar negara mengakibatkan kerajaan membuat keputusan untuk mendedahkan nama mereka.
Untuk pengetahuan, kerajaan Jepun sudah memberi amaran pada Mei lalu untuk mendedahkan nama mereka kepada umum jika tidak melaporkan diri pada kerajaan selepas pulang dari luar negara.
Pendedahan nama tiga individu terbabit adalah yang pertama kali dilakukan di negara matahari terbit itu semenjak amaran terbabit dikeluarkan.
Sumber: Insider