“Membazir kalau buang je” – ‘Nurse’ Dipecat Akibat Cucuk Vaksin Pfizer Tamat Tempoh Pada 3 Ahli Keluarga

“Membazir kalau buang je” – ‘Nurse’ Dipecat Akibat Cucuk Vaksin Pfizer Tamat Tempoh Pada 3 Ahli Keluarga
Share
Seorang jururawat veteran yang sudah hampir 50 tahun berkhidmat dalam bidang perubatan telah kehilangan kerjanya selepas dia memberikan suntikan vaksin COVID-19 yang sudah tamat tempoh kepada tiga orang ahli keluarganya.

Lapor Metro, Kirsten Peterson, 67, memang bertugas memberikan suntikan vaksinasi kepada golongan tua dan kurang upaya di sebuah pusat jagaan di Sydney, Australia sepanjang pandemik. Meskipun sudah lama menabur bakti, tindakan Peterson baru-baru ini mengakibatkan dirinya diberhentikan kerja kerana tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.

Difahamkan, Peterson perlu membuang tiga dos vaksin Pfizer susulan ia sudah tamat tempoh pengunaan. Oleh kerana merasakan ia satu pembaziran, Peterson telah memanggil anak perempuan dan dua anak buahnya untuk menerima suntikan terbabit.

Lapor sumber, meskipun ketiga-tiga ahli keluarga Peterson yang disuntik vaksin terbabit memang layak untuk menerima suntikan, mereka masih lagi belum boleh membuat tempahan.
Jelas Peterson, dia sama sekali tidak akan memberikan ahli keluarganya layanan istimewa dengan memberikan mereka vaksin yang sudah ditetapkan buat penerima lain. Katanya, tiga dos vaksin yang diberikan adalah daripada vaksin berbaki yang tidak digunakan pada hari itu.

“Vaksin yang tamat tempoh itu akan dibuang ke dalam tong sampah. Saya rasa membazir kerana ia boleh digunakan untuk seseorang tapi terpaksa dibuang kerana sudah tamat tempoh. Vaksin yang saya suntik pada ahli keluarga saya memang menunggu untuk dibuang dan bukannya diambil daripada penerima yang sepatutnya,” katanya.

Pun begitu, majikan Peterson, Healthcare Australia tetap memecat wanita itu kerana gagal mematuhi protokol jabatan kesihatan terkini.

Healthcare Australia, dalam pada itu, berkata, semua pekerjanya perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan dimana vaksin berlebihan perlu dibuang jika ia tidak boleh diagihkan kepada hospital tempatan dan mana-mana pusat Pfizer.

Sumber: Metro

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

close

Iklan Bawah Artikel