Sokongan PN kepada Ismail Sabri bersyarat - Muhyiddin
Thursday, August 19, 2021

Kuala Lumpur – Perikatan Nasional (PN) sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang baharu secara bersyarat.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata persetujuan itu dicapai semua 50 Ahli Dewan Rakyat dari parti gabungan PN iaitu 31 Ahli Dewan Rakyat daripada BERSATU, 18 (PAS) dan seorang dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang sudah menyerahkan Akuan Bersumpah ke Istana Negara, semalam.
Turut serta menyokong calon Perdana Menteri itu adalah empat Ahli Dewan Rakyat Bebas yang pro-PN.
Muhyiddin menjelaskan, keputusan yang sama juga dicapai hasil rundingan dengan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang sebelum ini bersama kerajaan PN.
“Keputusan ini dibuat demi menjamin kesinambungan dasar kerajaan PN yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi COVID-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) bagi mengembalikan mandat kepada rakyat.
“Keputusan ini juga bermakna PN lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, menjelaskan syarat ditetapkan bagi menyokong pencalonan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO itu, selaras dengan prinsip PN untuk terus mempertahankan kerajaan yang berintegriti,
“Saya berharap, proses pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan.
“Selaku Pengerusi PN, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) apabila tiba masanya.