Rumah Ulat Dalam Nasi Lemak! Pelanggan Ajar Cara Betul Guna Daun Pisang Untuk Bungkus Makanan
Wednesday, October 20, 2021

NIATNYA hanyalah untuk membantu peniaga lain, namun akhirnya hampa apabila melihat kesemua enam bungkus nasi lemak yang dibelinya tercemar dengan benda asing.
“Tengok dan nilai sendiri,” tulisnya, disertakan dengan video menunjukkan nasi lemak yang dibungkus dengan daun pisang yang dicemari kesan ‘debu berwarna putih’.
Bercakap kepada mStar, wanita berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Puteh, 49, berkata, dia sama sekali tidak berniat untuk memburukkan peniaga nasi lemak yang pernah viral itu sebaliknya berharap agar perkongsiannya dapat dijadikan tauladan buat peniaga-peniaga lain.
“Akak beli enam bungkus sebab nak habiskan sebab tak sampai hati biarkan dua ‘ketul’ je dekat situ jadi akak borong la tapi bila balik tengok semua tak boleh makan, ada kesan putih-putih tu.
“Orang yang komen kat video akak kata bekas ulat daun pisang, mungkin betul sebab masa akak kecil dulu bila buka gulungan daun memang ada, macam rumah ulat gitu.
“Akak tak cakap dekat peniaga tu sebab takut dia kecil hati, jadi akak post dekat TikTok sebab nak bagi peniaga lain berhati-hati dan titik beratkan juga kebersihan, jangan main jual untuk sahaja,” jelasnya.
Katanya dia terpaksa membuang kesemua nasi lemak yang dibelinya dari sebuah kedai yang terletak di Kota Damansara itu.
Jelasnya, ada beberapa proses yang perlu dilakukan demi memastikan daun pisang yang digunakan untuk membungkus makanan benar-benar bersih.
“Biasa kalau orang kampung nak masak ada prosesnya bermula dari kita ambil di pokok sampailah nak guna untuk bungkus atau alas makanan.
“Lepas cantas di pokok mereka akan basuh, lap, lepas tu layur atas api, kemudian lap lagi sekali dan barulah balut,” katanya.
Sumber : mStar