"Agak-agak siapa tu?" JKNJ Siasat Kes Kakitangan Curang
Wednesday, December 22, 2021

Pergolakan rumah tangga penjawat awam sebuah klinik kesihatan di Johor yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu kini dalam siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) kerana melanggar etika dan integriti kakitangan kerajaan.
Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu berkata, JKNJ memandang serius isu yang tular itu kerana ia melanggar Etika dan Integriti Penjawat Awam mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
"Sehubungan itu, JKNJ sedang menjalankan siasatan untuk tindakan lanjut. JKNJ juga memandang berat tindakan yang diambil oleh pihak pengadu dalam menyebarkan isu berkenaan di media sosial.
"JKNJ mengingatkan semua kakitangan untuk menggunakan saluran sedia ada dalam jabatan bagi menyampaikan semua isu atau aduan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sejak kelmarin isu membabitkan seorang pegawai kesihatan di sebuah klinik kesihatan di sebuah daerah di negeri ini tular di media sosial apabila isterinya yang juga seorang pegawai kesihatan mendedahkan kelakuan curang suaminya itu secara terbuka di media sosial.
Menerusi video yang tular berkenaan, isteri kepada pegawai kesihatan itu berjaya membongkar hubungan sulit suaminya dengan seorang wanita lain, sebelum dia mendakwa diceraikan di hadapan wanita itu.
Sumber: Metro