Dipaksa Pengurus Kongsi Habuan, Pelayan Dipecat Lepas Dapat Tip Besar
Thursday, December 23, 2021

Dua pelayan di Arkansas telah menerima tip sebanyak $4,400 (RM18,561), namun salah seorang daripadanya dipecat selepas pengurusnya menyuruh pelayan itu untuk berkongsi tip tersebut dengan kakitangan lain.
Pemberian itu diterima daripada Grant Wise iaitu seorang ahli perniagaan yang makan di restoran Oven and Tap yang berpuas hati dengan servis dua pelayan berkenaan.
Menurut laporan Fox 59, pada masa itu, Ryan Brandt dan seorang lagi pelayan lain sedang mengendalikan pesta untuk lebih 40 orang di restoran Oven and Tap di Bentonville.
Grant Wise memberitahu, dia tahu para pelayan benar-benar terjejas akibat pandemik Covid-19 dan bermurah hati untuk membantu mereka dengan memberikan tip itu.
Namun, pengurus restoran mengarahkan Brandt untuk berkongsi tip itu dengan kakitangan lain yang tidak mengendalikan pesta tersebut.
“Saya diberitahu untuk memberikan wang tip kepada pengurus syif restoran dan saya akan membawa pulang 20 peratus,” katanya.
Apabila Wise yang memiliki syarikat hartanah bernama Witley mengetahui tindakan bos restoran itu, dia meminta restoran terbabit mengembalikan tip tersebut sebelum menyerahkan $2,200 (RM9,280) terus kepada Brandt.
Tetapi, Brandt telah dipecat pada hari berikutnya melalui telefon, setelah hampir empat tahun bekerja di sana.
Dalam satu kenyataan, Oven and Tap berkata, Brandt dipecat atas sebab yang tidak berkaitan dengan insiden pemberian tip itu.
Restoran itu mendakwa ia ‘menghormati sepenuhnya’ permintaan pemberi tip yang bermurah hati untuk memberi ganjaran kepada dua pelayan mereka semasa di pesta itu.
“Selepas pesta itu, kumpulan tetamu ini meminta tip mereka diberikan kepada dua pelayan yang telah melayan mereka.
“Kami menghormati penuh permintaan mereka,” kata restoran itu.
Sementara itu, restoran itu juga tidak menyatakan sebab sebenar kenapa Brandt dipecat.
“Pelayan yang diberhentikan beberapa hari selepas pesta itu tidak diberhentikan kerana dia memilih untuk menyimpan tip,” katanya.
Menurut pengurusan restoran itu, seorang lagi pelayan wanita yang menerima tip besar pada petang itu daripada syarikat Witley masih lagi menjadi pekerjanya.
Sebagai tindak balas, Grant Wise memulakan pengumpulan dana GoFundMe untuk Brandt yang kini berjaya mengumpul lebih daripada $8,700 (RM36,700) pada pagi Isnin lalu.
Sumber: Suara Merdeka