Isu Inai Nunha, Ini Jawapan Neelofa

Isu Inai Nunha, Ini Jawapan Neelofa
Share

Baru-baru ini hangat diperkatakan di media sosial mengenai isu kualiti inai jenama Nunha milik selebriti popular, Neelofa.


Rata-ratanya mempertikai inai terbabit berwarna hitam seakan-akan lebam seolah-olah terkepit pintu dan tidak merah seperti inai lain. Malah, ada segelintir pihak mendakwa kononnya produk inai selebriti itu tidak mesra wuduk kerana tidak menyerap air.


Tampil bersuara mengenai isu tersebut di Insta Story, Neelofa menegaskan inainya tidak menggunakan pewarna makanan tiruan sebaliknya menggunakan bahan semula jadi.

“Ramai yang nak saya jelaskan isu berkaitan tidak sah solat. Semasa proses persampelan, perkara pertama saya pentingkan ialah tiada pewarna makanan. Ramai jenama lain yang perli kami guna pewarna makanan.


“Ini bukan seperti inai lain tetapi telah ditambah pewarna makanan. Kami tidak letak pewarna makanan langsung, saya sangat anti perkara tersebut. Kami gunakan bahan-bahan semulajadi,” katanya.


Isteri kepada PU Riz itu juga berkata dia tidak memandang ringan mengenai isu penyerapan inai kerana enggan menanggung dosa mereka yang menggunakan inai keluarannya itu.


“Saya pun tak tahu kenapa kecoh sebab sebelum ini ramai jenama lain sudah dijual yang tidak sah solat.
Namun mungkin kerana inai ini Neelofa yang hasilkan, sebab itu jadi isu.


“Nak buat yang tidak sah solat? Dosa sendiri pun tidak tertanggung, apatah lagi nak tanggung dosa berjuta orang di luar sana. Saya pun buat benda ini sangat berhati-hati, tak tahu berapa puluh kali telah buat usaha untuk pastikan semua bahan yang digunakan diluluskan,” katanya.


Dalam pada itu, Neelofa memaklumkan akan mengadakan satu majlis dalam masa terdekat serta menjemput pakar di dalam bidang tersebut untuk memberi penjelasan lanjut.


“Kami akan menjemput pakar yang mahir berkaitan bidang ini untuk jelaskan kepada wakil pengedar dan media di sebuah majlis dalam masa terdekat. Harap selepas majlis nanti akan dapat selesaikan isu ini,” katanya.


SUMBER: KOSMO!

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

close

Iklan Bawah Artikel