Remaja Perempuan 16 Tahun Bersubahat Dengan 5 Lelaki Untuk Rog*l Mangsa Yang Sama
Friday, July 29, 2022
Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Kuala Kangsar hari ini atas dua pertuduhan bersubahat membabitkan jenayah rogol.
Menurut laporan Harian Metro, dua pertuduhan itu adalah secara individu dan rogol berkumpulan pada pertengahan Julai.
Pertuduhan pertama
- Remaja itu didakwa bersubahat dengan Muhammad Azeem Abdul Rahman, 20, Mohamad Ariff Haikal Arapin, 21 dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun 9 bulan dengan cara membenarkan dan menyebabkan seorang remaja perempuan yang ketika kejadian berumur 15 tahun 11 bulan dirogol.
- Kesalahan rogol itu dilakukan atas sebab persubahatan tertuduh
- Dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Taman Dovenby, Sungai Siput antara jam 1 hingga 2 pagi, 14 Julai.
- Kesalahan dibaca mengikut Seksyen 375 B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun sama yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun namun tidak melebihi 30 tahun
Pertuduhan kedua
- Remaja itu didakwa bersubahat dengan Afiq Yan Muhammad Farid Yan, 20, dengan cara membenarkan dan menyebabkan mangsa yang sama iaitu remaja perempuan berumur 15 tahun 11 bulan, dirogol.
- Kesalahan rogol itu dilakukan atas sebab-sebab persubahatan tertuduh.
- Dilakukan di sebuah rumah di Kampung Pulau Mentimun, Sungai Siput antara jam 1 hingga 2 pagi pada 17 Julai.
- Kesalahan dibaca mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun sama yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan.
Pihak mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili dua peguam itu diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan di samping syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan melaporkan diri di balai polis berhampiran, sebulan sekali.
Empat tertuduh lelaki yang bersangkutan dengan kes rogol itu dilaporkan telah dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh untuk dituduh pada petang ini memandangkan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar sedang dalam tempoh cuti.
Sumber: Harian Metro