Merajuk antara punca individu hilang di Kelantan - Polis
Saturday, July 30, 2022
Polis Kelantan mendedahkan, merajuk antara punca menyebabkan individu hilang di negeri itu dengan sejumlah 688 kes direkodkan sejak tahun 2016 hingga kini.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, daripada 688 kes, hanya dua kes sahaja yang masih belum diselesaikan.
"Statistik menunjukkan tiga daerah tertinggi merekodkan kes orang hilang iaitu di Kota Bharu, Pasir Mas dan Kuala Krai. Namun, semua kes kehilangan ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa membabitkan kehilangan nyawa.
"Selain itu, tiada kes membabitkan jenayah penculikan," katanya memetik laporan dari Harian Metro, Khamis, 28 Julai 2022.
Berdasarkan kes, majoriti individu yang hilang itu berusia lebih 18 tahun ke atas dan mereka dipercayai melarikan diri kerana merajuk dan terbabit dalam masalah keluarga.
Bagi tahun 2021, sebanyak 75 kes individu hilang dilaporkan dan 23 kes pada Januari sehingga Julai 2022.
Sementara itu, indeks jenayah merekodkan peningkatan sebanyak 17.9 peratus (1,139 kes) berbanding tahun lalu (967 kes) dengan tambahan 173 kes.
Muhammad Zaki percaya, perbezaan itu berlaku disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini. Pihaknya kini sedang mempergiatkan tindakan termasuk menjalankan lebih banyak operasi kecilan dan terancang.
Sumber: Harian Metro