Ramai Wanita Zaman Sekarang Mengaku Lebih Tergoda Dengan Suami Orang Berbanding Bujang
Sunday, August 28, 2022

Kuala Lumpur: Lebih romantis, penyayang, pandai mengawal emosi dan mempunyai kedudukan kewangan yang stabil menjadi 'resepi paling mujarab' untuk lelaki berstatus suami orang sehingga menjadi buruan segelintir wanita.
Wanita berkenaan yang rela digelar 'perampas' serta 'perosak rumah tangga' tidak menghiraukan gelaran berkenaan sebaliknya mencari kehidupan yang sempurna apabila berkahwin dengan lelaki berstatus suami orang ini.
Keterampilan serta personaliti yang ditonjolkan lelaki berstatus suami ini lebih membuatkan segelintir wanita terpesona, sekali gus tidak menghiraukan mengenai status lelaki berkenaan.
Perkara itu didedahkan oleh Pakar Kaunseling Keluarga, Hushim Salleh yang pernah berdepan lebih 20 kes seumpama itu membabitkan perkahwinan isteri muda sebelum tercetus sesuatu konflik.
Hushim yang mempunyai klinik kaunseling persendirian berkata, kes berkenaan pernah dirujuk di kliniknya oleh pasangan membabitkan isteri muda.
Menurutnya, 'laki orang' ini mempunyai sifat simpati dan empati yang tinggi serta kebiasaannya sangat romantis kerana sudah biasa melayan pasangan mereka.
Katanya, kebanyakan pasangan ini bernikah di negara jiran berikutan ia perkahwinan yang disembunyikan daripada isteri pertama sehingga timbul pelbagai konflik dalam satu tempoh masa selepas mendirikan rumah tangga.
"Wanita yang memburu suami orang ini kebanyakan sudah berusia lewat 20-an ke atas dan kebanyakannya mempunyai kerjaya yang sangat stabil sehingga lelaki bujang takut untuk mendekati mereka.
"Golongan dalam kategori ini juga sangat mudah tertarik dengan personaliti lelaki berstatus suami orang ini kerana kebanyakannya adalah lebih matang berbanding bujang dan sangat mengambil berat.
"Tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa suami orang ini pandai mengambil hati wanita berkenaan dengan perhatiannya, sifat romantisnya, penyayang dan pandai mengawal emosi dalam apa juga keadaan," katanya kepada Metro Ahad, semalam.
Beliau berkata, wanita ini akan mudah cair dengan personaliti lelaki berkenaan kerana mereka sudah mempunyai pengalaman berdepan dengan rumah tangga, isteri dan melayan anak.
Katanya, wujud juga kes di mana pasangan ini berkahwin kerana mahu lelaki yang membimbing mereka dan si isteri muda tidak kisah tentang status lelaki itu.
Menurutnya, ketika sesi kaunseling berkenaan berlangsung, ada wanita bergelar isteri muda ini mengakui berkahwin dengan pasangannya kerana tertarik dengan sifat serta keprihatinan lelaki berkenaan selain daripada faktor memiliki kewangan yang stabil.
Sumber: Harian Metro