Pertembungan 10 Penjuru PRU15, Kenali ‘Influencer’ Calon Bebas Bertanding Di Parlimen Batu. Siapa Cleopatra?
Tuesday, November 8, 2022
Dalam beberapa minggu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dan Parlimen Batu menyaksikan pertembungan 10 penjuru yang menjadikannya perhatian ramai pihak.
Parlimen tersebut dianggarkan memiliki 112,000 pengundi dan pecahan undi mengikut kawasan itu adalah Melayu (43%), Cina (30%), India (20%), dan 7% bagi lain-lain.
Namun, apa yang menarik perhatian ialah ‘influencer’ Nur Fathiah Syazwana Shaharudin atau lebih dikenali sebagai Cleopatra yang bertanding atas tiket Bebas dengan logo pokok di parlimen tersebut.
Jadi siapa sebenarnya Cleopatra? Difahamkan Cleopatra adalah seorang ibu tunggal kepada dua cahaya mata dan mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam industri keselamatan dan pertahanan.
Cleopatra juga merupakan Pengarah Raffles Force (Malaysia) Sdn Bhd yang dilantik pada tahun 2021 sehingga sekarang.
Disamping itu, dia juga menyandang jawatan sebagai Pengarah Nova Defence Sdn Bhd sejak tahun 2019.
Selain itu, anak kelahiran Pulau Pinang ini turut menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Tindakan Perikatan Wanita Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau juga dikenali sebagai Hetero Action Women Alliance (Hawa).
Oleh kerana banyak terlibat dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, kebajikan dan sosial, Cleopatra berpendapat bidang politik adalah platform terbaik untuk dirinya dalam memperjuangkan nasib rakyat.
Sebelum ini, Cleopatra pernah menyatakan pembabitannya dalam politik adalah untuk mewakili rakyat dalam mengemukakan sebarang permasalahan bagi mencapai transformasi politik matang di Malaysia.
Sekadar info, calon-calon yang bertanding di Parlimen Batu adalah Siti Kasim (Bebas), Tian Chua (Bebas), P Prabakaran (PH-PKR), Zulkifli Fattah (Bebas), Too Gao Lan (Bebas), Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang), Azhar Yahya (PN-PAS), Naganathan Pillai (Warisan), A Kohilan Pillay (BN-MIC) dan Nur Fathiah Syazwana @ Cleo (Bebas).
Sumber: Beautifulnara