“Jika Puteri Sarah Bertemu Pasangan Lain, Syamsul Jangan Bengkak Hati”
Friday, April 14, 2023
Bapa kepada pengarah kontroversi, Syamsul Yusof iaitu Datuk Yusof Haslam mengingatkan anaknya supaya tidak menyimpan dendam dan membuang ego sebaik sahaja melafazkan talak kepada isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana pada 18 April ini.
Memetik Astro Awani, Yusof berkata meskipun rumah tangga mereka anak menantunya itu akan terlerai namun dia menghormati keputusan tersebut demi kebaikan semua pihak.
“Saya doakan yang terbaik dan berharap jika perpisahan itu berlaku kelak, ia berlaku dengan baik atas alasan yang logik.
“Ini bukan perpisahan yang biasa tetapi perpisahan yang meninggalkan zuriat. Jadi saya harap baik sang isteri atau sang suami, masing-masing tahu tanggungjawab. Masing-masing kena buang ego, jangan pentingkan diri, fikir masa depan anak-anak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Yusof berharap hubungan mereka terus terjaga demi anak-anak serta mengatakan Syamsul perlu menerima jika Sarah bertemu pengganti selepas berpisah.
“Kelak jika bekas isteri ada bertemu pasangan lain, Syamsul jangan bengkak hati, jangan berdendam. Saya sangat berharap agar silaturahim antara mereka terjaga demi anak-anak,” katanya.
SUMBER ASTRO AWANI