‘Siapa yang kata (konsert) haram, jangan datang, duduk rumah atau surau’ – Baby Shima

‘Siapa yang kata (konsert) haram, jangan datang, duduk rumah atau surau’ – Baby Shima
Share
Bila diumumkan saja konsert kumpulan Coldplay yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada November nanti, ramai yang ternanti-nantikan peluang untuk menonton persembahan kumpulan rock British itu. Usahkan individu biasa, malahan artis tempatan juga teruja dengan kedatangan mereka.

Tidak kurang juga, ada beberapa pihak yang mengkritik individu yang teruja dengan kedatangan Coldplay.

Namun bagi penyanyi dangdut sensasi, Baby Shima, melalui hantaran di IG story beberapa hari lalu berkata, sesiapa yang merasakan konsert itu adalah haram, maka dia tidak perlu menontonnya.

“Konsert kat Malaysia tak ada masalah pun. Siapa nak tengok, pergi tengok. Siapa yang kata haram, jangan datang. Duduk rumah, duduk surau,” tulisnya.

Katanya lagi, tiada masalah sekiranya Malaysia mahu mengadakan konsert memandangkan hidup ini mempunyai pilihan.

“Apalah susah sangat, hidup itu pilihan,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Baby Shima turut mempersoalkan ‘suara lantang’ pendakwah bebas, Syed yang sering membuat bantahan mengenai artis luar yang bakal mengadakan konsert di Malaysia.

Syed beberapa hari lalu menyuarakan bantahannya terhadap penganjuran konsert Coldplay yang bakal diadakan di Malaysia, selain mempertikai tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengalu-alukan kedatangan kumpulan rock tersebut.

Syed atau nama penuhnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak berkata, budaya hedonisme atau hiburan melampau dalam kalangan masyarakat sepatutnya dihentikan selain menyifatkan ia tidak mendatangkan manfaat kepada agama serta bangsa.

Syed juga mengkritik kenyataan yang dikeluarkan oleh Baby Shima.

“Bila penyanyi ini keluarkan fatwa. Senang sungguh jemari kamu menaip pandangan songsang begini ya?

“Saya risau kamu yang tak faham agama, tapi bicara bab agama tentang halal dan haram akan terjerumus dalam golongan Ruwaibidhah. Bukankah halal dan haram itu telah jelas dalam agama!?.

“Hukum nyanyi, hukum konsert ada telah dibahaskan ulama. Jika jaga adab dan patuh syariat, silakan. Tapi jika sebaliknya, hentikan,” katanya.

Kenyataan Syed disokong oleh netizen dan Muhammad Haris Mohd Ismail yang juga merupakan suami kepada Neelofa juga dilihat meninggalkan komen dalam hantaran tersebut.

“Habis cerita kalau ada method kedepankan akal membelakangi agama,” tulisnya.

Sumber: Babyshimaofficialpusyed_official, thereporter.my

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

close

Iklan Bawah Artikel