3 termasuk Datuk ditahan, dadah bernilai RM14.4 juta dirampas
Friday, September 3, 2021

Nilai – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup keluar 400 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine bernilai RM14.4 juta yang disorok di dalam bungkusan teh di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa lepas.
Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata dalam operasi dilakukan sepasukan anggota daripada Cawangan Narkotik JKDM menemukan bahan kristal jernih disyaki dadah jenis methamphetamine di dalam bungkusan teh yang diisi di dalam kotak.
Turut ditahan bersama dadah tersebut tiga lelaki tempatan berumur 25 hingga 56 tahun termasuk individu yang dipercayai sebagai ahli perniagaan berpangkat ‘Datuk’.
Beliau berkata modus operandi sindiket adalah dengan mengisytiharkan kesemua kotak tersebut sebagai troli hotel di dalam dua kotak kayu besar bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Siasatan mendapati dua kotak berkenaan berisi lapan kotak yang mengandungi dadah disorokkan bersama pakaian. Kotak itu berisi bungkusan teh yang mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah berbahaya seberat 400 kg untuk diseludup ke beberapa negara di Asia Pasifik,” katanya pada sidang media di Cawangan Narkotik JKDM, Kampung Jijan, di sini hari ini.
Abdul Latif berkata kesemua yang ditahan dipercayai telah 11 kali melakukan perbuatan tersebut menggunakan modus operandi yang sama sejak tahun lepas dengan dadah diperoleh dipercayai daripada pasaran tempatan dan luar negara.
Beliau berkata siasatan berhubung rekod jenayah lampau masih dijalankan manakala hasil ujian air kencing kesemua lelaki ditahan adalah negatif.
Katanya, kesemua mereka direman 14 hari bermula 31 Ogos lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, lapor Bernama.