PM Cadang Gelaran Tun Najib, Tun Rosmah Kepada Agong?
Saturday, November 20, 2021

Bukan hanya permohonan tanah bernilai RM100 juta kepada Datuk Seri Najib Razak sedang dipertimbang kerajaan, malah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menghantar nama bekas Perdana Menteri (PM) itu untuk diberi gelaran ‘Tun’.
Agenda Daily memetik sumber melaporkan boleh mengesahkan nama Najib dihantar PM kepada Istana Negara yang mencadangkan agar gelaran tertinggi negara itu diberikan kepadanya atas alasan pernah menjadi pemimpin nombor satu negara dan sebagai tanda penghargaan terhadapnya.
“Nama Najib dihantar Ismail Sabri kepada Istana Negara untuk diberi gelaran Tun pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2021 bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.
“Bagaimanapun tidak ada sebarang maklum balas dari Istana Negara berhubung cadangan nama Najib tersebut,” kata sumber.
Jelas sumber lagi, cadangan nama Najib itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.
Menurut sumber, satu lagi nama pemimpin negara yang namanya turut dihantar kepada Istana Negara untuk dipertimbangkan diberi gelaran tersebut adalah PM kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga tidak menerima sebarang maklum balas dari pihak istana.
Untuk rekod, Tun ialah anugerah gelaran tertinggi di Malaysia yang hanya boleh dikurniakan Yang di-Pertuan Agong yang setaraf dengan gelaran “Lord” di United Kingdom.
Penerima anugerah ini akan menerima Darjah Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) atau Darjah Seri Setia Mahkota (SSM).
Anugerah ini dihadkan hanya kepada 25 orang penerima sahaja, tidak termasuk warganegara asing yang dikurniakan sebagai anugerah kehormat.
Kebanyakan penerima anugerah ini adalah pemimpin negara yang telah banyak menaburkan jasa kepada negara seperti PM. Penerima kedua-dua anugerah tersebut membawa gelaran ‘Tun’ dan isteri penyandang bergelar ‘Toh’.
Bersempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong pada 13 November baru-baru ini, seramai 1,207 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2021.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan mengurniakan Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran “Tun” kepada bekas Ketua Hakim Negara Richard Malanjum dan bekas Pengerusi Kumpulan Felda Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali.
Sumber: Suara Merdeka