Lelaki Kongsi Video Nak ‘Ngorat’ Anak Buah, Sentap Dihentam Netizen
Wednesday, May 4, 2022

Menerusi video berdurasi 19 saat itu, pemuda tersebut membuat rakaman memaparkan seorang gadis di belakangnya dengan kapsyen 'nak ngorat tapi anak buah pula, pening kepala'.
Pelbagai reaksi netizen susulan perkongsian yang tular, dengan rata-ratanya mengecam pemuda berkenaan kerana seolah-olah tidak memahami hukum membabitkan hubungan sesama mahram.
Portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut menghuraikan bahawa mahram adalah orang yang haram dikahwini dan diharamkan melakukan hubungan persetubuhan badan dengannya.
Tambahnya, para ulama menjelaskan perkahwinan adalah akad yang menghalalkan persetubuhan, sekiranya individu yang mempunyai hubungan mahram dengan orang lain maka diharamkan berkahwin dengannya.
Bukan sahaja dilarang oleh agama Islam, perkahwinan membabitkan saudara terdekat turut dibuktikan daripada sudut perubatan di mana ia berisiko mendapat penyakit genetik.
Seorang doktor, Dr Khairul Hafidz turut membuat huraian mengenai implikasi perkahwinan membabitkan saudara terdekat menerusi satu bebenang di Twitter.
Mengulas lanjut, Dr Khairul Hafidz berkata, dalam kajian disebut frekuensi penyakit genetik, yang akan diperoleh oleh anak hasil perkahwinan antara saudara terdekat adalah dua kali ganda daripada perkahwinan tiada pertalian saudara.
Bagaimanapun, doktor tersebut membuat huraian tanpa mengaitkan dengan mana-mana kes atau isu secara spesifik.
Menerusi ruangan komen, segelintir netizen berkongsi kisah membabitkan keluarga masing-masing berkahwin dengan individu yang mempunyai pertalian darah.
Sementara itu, hasil semakan mStar mendapati video asal yang dimuat naik di akaun TikTok pemuda berkenaan telah dipadamkan.
Namun, dalam video dimuat naik secara berasingan, pemuda berkenaan tampil membuat penjelasan berhubung kontroversi yang berlaku.
Pemuda tersebut mendakwa video berkenaan mempunyai maksud sebaliknya, namun ia disalah tafsir netizen.
Sumber: Mstar